Lelaki cedera, empat rumah musnah terbakar

Lelaki cedera, empat rumah musnah terbakar

Keningau: Seorang lelaki dewasa cedera ringan dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Masak, Jalan Masak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, tiga buah rumah separuh kekal musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar 90 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.58 tengah hari.

Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba menggunakan dua aliran dan empat pancutan dari sumber air jentera dan air kolam.

“Kebakaran membabitkan empat rumah separuh kekal yang mana tiga rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa lelaki dewasa cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Keningau menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi terkawal pada 1.50 tengah hari dan tamat sepenuhnya pada jam 4.42 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|