Kerajaan perpaduan: GRS akur keputusan Agong

Kerajaan perpaduan: GRS akur keputusan Agong

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil pendirian akur dengan apa saja keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendirian itu sejajar dengan komitmen untuk memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pendirian GRS itu senada dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sebelum ini menyatakan pendiriannya berhubung soal pembentukan kerajaan perpaduan.

“GRS berpendirian bahawa adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

“Oleh itu, GRS senada dengan GPS untuk akur kepada apa saja keputusan dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, GRS berpendirian bahawa penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif dan melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

“Untuk memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|