STAR Kapayan sokong saranan henti tuntut Sabah

STAR Kapayan sokong saranan henti tuntut Sabah

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan menyokong saranan calon Ahli Kongres Bandar Zamboanga, Atty Wendell Sotto supaya kerajaan Filipina menghentikan tuntutan terhadap Sabah, selain meminta kerajaan negara itu membuka pejabat konsulat bagi mengurus warganegara mereka yang mempunyai pelbagai masalah dokumentasi di Sabah.

Ketua Bahagian STAR Kapayan, Jafery Jomion berkata, sepatutnya warga Filipina yang ada di negara ini atau pekerja luar negara Filipina menyokong dan mengundi Atty Wendell sebagai ahli kongres yang baharu supaya segala rancangannya dapat dilaksanakan demi kebajikan warga mereka selain memberi manfaat kepada kedua-dua negara termasuk dari segi ekonomi.

“Selain itu, ini juga dapat menjaga hubungan baik antarabangsa seperti warga Indonesia yang berada di Sabah kurang masalah seperti jenayah dan sebagainya kerana mereka mempunyai wakil iaitu Konsulat Indonesia di sini.

“Mengikut laporan di surat khabar yang sering kita baca dan dengar, kebanyakan warga Filipina yang terlibat dengan kes jenayah dadah, rompak dan sebagainya adalah individu yang tidak mempunyai dokumen berbanding warga mereka yang mempunyai dokumen kurang terlibat dengan sebarang kes jenayah kerana kedua-dua pihak kerajaan Filipina dan Malaysia mempunyai rekod keberadaan mereka di sini, selain mudah dipantau oleh majikan yang mengambil mereka bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan berhubung saranan Atty Wendell yang meminta kerajaan Filipina menghentikan tuntutan terhadap Sabah.

Jafery sebelum ini pernah meminta kerajaan Filipina membantu 145 warganya yang tidak mempunyai dokumen dan menjadi mangsa kebakaran di Kampung Mogoputi, di sini, beberapa minggu lalu supaya pihak kerajaan Filipina tampil untuk membantu warganya sendiri.

“Kita sebagai peminpin parti politik di Malaysia seharusnya berterima kasih dan menyokong penuh pendapat dan saranan Atty Wendell atas keberanian beliau bersuara dengan kerajaan Filipina supaya masalah yang yang dihadapi oleh kedua-dua negara dapat diselesaikan segera,” katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun cadangan Atty Wendell perlu kelulusan kerajaan Filipina dan mengambil masa yang agak lama namun untuk sementara waktu ini pihaknya sedia membantu menyediakan ruang pejabat secara percuma kepada Pegawai Kedutaan Filipina atau agensinya untuk datang membantu warganya yang mempunyai masalah pasport.

“Ini supaya dapat memudahkan warganya berurusan tanpa perlu pergi ke Pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur atau balik ke negara asal mereka atas sebab kewangan dan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

“Sehubungan itu, saya mewakili pihak Ahli JawatanKuasa STAR Bahagian Kapayan ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Atty Wendell semoga beliau berjaya menjadi sebagai ahli kongres yang baharu dan menjadi pemimpin pertama dari kerajaan Filipina yang berani menghentikan tuntutan Filipina sebelum ini dan yang mencadangkan untuk mewujudkan Konsulat Filipina di Sabah, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|