Covid-19 Sabah: Kes baharu melonjak lepasi angka 2,000

Covid-19 Sabah: Kes baharu melonjak lepasi angka 2,000

Kota Kinabalu: Kes jangkitan Covid-19 di Sabah terus melonjak hingga melepasi angka 2,000 dengan catatan 2,069 kes lagi hari ini, naik 469 kes berbanding 1,600 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata tujuh daerah mencatat kes tiga angka hari ini berbanding hanya empat daerah semalam.

Katanya, daerah terbabit ialah Kota Kinabalu (395 kes), Sandakan (267 kes), Tuaran (192 kes), Papar (161 kes), Penampang (161 kes), Lahad Datu (137 kes) dan Tawau (113 kes).

“Bilangan daerah yang mencatatkan kes dua angka kekal 15 daerah, manakala hanya empat daerah sahaja yang mencatatkan kes satu angka dan satu daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata sebanyak 15 daripada 27 daerah di Sabah mencatat peningkatan kes dua hingga tiga angka iaitu Papar (+100), Lahad Datu (+80), Ranau (+50), Tuaran (+42), Sipitang (+33), Kota Belud (+32), Telupid (+25), Kota Kinabalu (+24), Kuala Penyu (+24), Penampang (+23) dan Beaufort (+20).

Tambahnya, hanya tiga daerah merekodkan penurunan kes baharu, tetapi masih mencatatkan kes harian yang agak tinggi iaitu Sandakan, Putatan dan Tambunan.

“Jumlah kes jangkitan sporadik terus bertambah hari ini kepada 1,075 atau 51.96 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Kes yang diperolehi melalui saringan bergejala yang tinggi ini satu petanda jelas betapa meluasnya virus Covid-19 telah merebak dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata satu lagi kluster baharu institusi pendidikan diisytiharkan di Kota Marudu hari ini yang membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 2.

Beliau berkata, kes indeks ialah seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 berumur 18 tahun yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

“Kes indeks mula bergejala pada 2 Februari lalu dan didapati positif melalui saringan RTK-Ag pada keesokannya. Kes indeks telah dikuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai.

“Saringan ke atas kontak rapat mendapati tujuh orang lagi didapati positif menjadikan jumlah kes positif sebanyak 16 orang setakat ini. Semua mereka yang positif telah dikuarantin dan diberikan rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata 2,056 (99.37 peratus) daripada 2,069 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti lima kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.

Katanya, mengikut statistik, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Rt bagi Sabah ialah ketika ini ialah 1.54, lebih tinggi berbanding 1.32 kadar Rt kebangsaan.

“Ini bermakna kadar penularan Covid-19 di Sabah lebih tinggi dan akan mengakibatkan kadar peningkatan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding negeri lain di negara ini,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 8 Februari 2022
Sabah 2,069 (1,600)

Kota Kinabalu 395 (371)
Sandakan 267 (322)
Tuaran 192 (150)
Papar 161 (61)
Penampang 161 (138)
Lahad Datu 137 (57)
Tawau 113 (99)
Ranau 82 (32)
Beaufort 74 (54)
Kota Belud 63 (31)
Keningau 60 (60)
Kuala Penyu 59 (35)
Kota Marudu 48 (29)
Sipitang 39 (6)
Putatan 39 (65)
Kudat 30 (16)
Telupid 29 (4)
Semporna 24 (13)
Kunak 24 (19)
Beluran 23 (4)
Kinabatangan 18 (12)
Tambunan 13 (16)
Nabawan 6 (0)
Tenom 6 (1)
Pitas 4 (3)
Kalabakan 2 (2)
Tongod 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 7 Februari 2022

Kluster Baharu
Kluster Jalan Kebulian,
Kota Marudu 16(+7)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|