Bekas pengurus kanan SESB dipenjara 11 bulan selepas mengaku terima rasuah RM59,000

Bekas pengurus kanan SESB dipenjara 11 bulan selepas mengaku terima rasuah RM59,000

Kota Kinabalu: Seorang bekas pengurus kanan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipenjara 11 bulan selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM59,000 pada 2017.

Tertuduh, Sufian Abdul Ghani, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Sufian yang sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM59,000 secara berasingan pada 9 Mac, 4 Mei dan 16 Oktober 2017 daripada sebuah syarikat sebagai dorongan agar segala urusan tuntutan kerja yang dilakukan syarikat terbabit terhadap Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB lancar.

Suapan itu juga bagi memastikan syarikat berkenaan mendapat projek kerja-kerja kecemasan daripada jabatan terbabit.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula hari ini serta denda RM220,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut dikenakan penjara enam bulan bermula hari ini dan denda sebanyak RM25,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya, manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dipenjara enam bulan bermula hari ini dan denda RM50,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak dapat membayar semua denda berkenaan lalu dikenakan hukuman penjara selama lima bulan lagi untuk ketiga-tiga pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara selama 11 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|