Kota Marudu: Kira-kira 50 peniaga menjual ikan dan daging ayam di sini, merayu supaya bangunan Pasar Am Besar Kota Marudu dibangunkan semula supaya mereka boleh kembali berniaga di bangunan pasar berkenaan seperti dahulu.
Peniaga mendakwa, ketika ini mereka terpaksa menumpang di pasar yang menempatkan peniaga barangan runcit dan sayur hingga menyebabkan peniaga kurang selesa berikutan keadaan yang sempit selain barangan jualan terlindung daripada pengunjung.

Difahamkan, mereka dipindahkan dan menumpang di pasar itu selepas bangunan dua tingkat Pasar Am Besar Kota Marudu itu musnah akibat kebakaran pada 2018.
Menurut peniaga ikan masin, Lily Matajim, 63, dia kini terpaksa menumpang di pasar yang menjual barangan runcit dan sayur-sayuran.

“Sebelum kejadian kebakaran itu, semua peniaga ikan basah, kering dan daging ayam ditempatkan di pasar besar berkenaan.
“Selepas kejadian kebakaran, kami kemudian ditumpangkan ke pasar lain tetapi keadaan di sini agak kurang selesa kerana ruangnya sempit serta terlindung oleh jualan barangan runcit lain.
“Ini berlanjutan sehingga kini sekali gus menyebabkan pendapatan kami terjejas. Kalau dulu hanya peniaga ikan dan daging ayam dikumpulkan di satu tempat tetapi kini kami sudah bercampur dan pendapatanpun berkurangan kerana barangan jualan kami terlindung,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Dakwanya lagi, mereka pernah menyuarakan hasrat untuk kembali ke pasar lama berkenaan namun sehingga kini belum menerima maklum balas daripada pihak berkaitan.
“Ada juga kami maklumkan kepada pihak berkaitan namun difahamkan mereka tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membina semula pasar berkenaan.
“Jadi sehingga kini tiada khabar berita mengenainya sama ada ia dibina semula untuk peniaga yang selama ini memang berniaga di pasar itu,” katanya.
Sehubungan itu, peniaga di kawasan itu berharap mereka dapat dipindahkan ke pasar lama supaya tidak perlu menumpang dan seterusnya mempunyai gerai jualan sendiri.
Sementara itu, Naib Ketua Bahagian Parti Cinta Sabah (PCS) Kota Marudu, Mohd Zahir Bahari berkata, sehingga hari ini bangunan Pasar Am Besar Kota Marudu itu belum ada tanda dibangunkan semula.
“Sejak terbakar pada 16 Februari 2018, belum ada usaha untuk membangunkan pasar ini untuk bagi kemudahan kepada peniaga lain yang terjejas.
“Saya harap dan merayu pimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat mengambil tindakan segera dengan membangunkan semula pasar ini supaya peniaga dapat berniaga semula di sana.
“Keadaannya yang tidak menentu tidak mampu menampung semua peniaga berkenaan,” katanya.
Sebelum itu, Mohd Zahir bersama Ketua Pemuda PCS Kota Marudu, Elvery Hendry serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) PCS Kota Marudu pada Selasa meninjau keadaan peniaga di pasar berkenaan.
-Deasoka