Beri rasuah kepada polis, dua peniaga masing-masing didenda RM10,000

Beri rasuah kepada polis, dua peniaga masing-masing didenda RM10,000

Kota Kinabalu: Dua peniaga kedai runcit didenda masing-masing RM10,000 selepas mengaku bersalah memberi suapan RM7,000 kepada seorang pegawai polis di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh pertama, Zia Ullah Mir Akbar Khan, 31 dan tertuduh kedua, Farman Ali Muhammad, 37, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun yang sama kerana memberi suapan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki rokok tidak bercukai di Penampang pada 2020.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-mereka didakwa dengan niat bersama memberi suapan sebanyak RM7,000 kepada Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Superintendan Parum Niot, yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Perbuatan kedua-dua peniaga itu dilaporkan berlaku antara jam 3 hingga 5 petang pada 20 April 2020.

Wang RM7,000 itu dikatakan sebagai balasan bagi kedua-dua tertuduh mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok tidak bercukai.

Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM20,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari firma guaman, Ansari & Co.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|