Tawau: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri selepas baru mendarat di daerah ini gagal apabila ditahan Tim Quick Reaction (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di Jambatan 2, Kampung Kurnia Jaya, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 12.15 tengah malam menerusi Op Benteng Bersama, menahan seramai lapan PATI warga Indonesia yang berusia satu tahun hingga 52 tahun.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tindakan PATI yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau dikesan Radar Coastal Surveillance System (CSS) yang dikendalikan oleh MK ATB 2 mengesan sebuah bot dari luar sempadan perairan memasuki perairan negara.
Susulan itu, katanya, Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama diatur gerak ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan mengesan lapan PATI yang baru mendarat di Jambatan 2 di kampung berkenaan.
“Terkejut dengan kehadiran Tim QRF, bot laju yang membawa semua PATI bertindak melarikan diri dan berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas menurunlan semua PATI.
“Manakala PATI bertindak cuba melarikan diri namun gagal apabila Tim QRF mengepung dan menahan semua PATI terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati semua PATI adalah warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan cuba memasuki negara secara haram melalui perairan Tawau.
“Semua PATI memaklumkan tujuan utama memasuki Malaysia adalah bagi mencari peluang pekerjaan dan mereka telah menaiki bot yang diatur oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang ditetapkan.
“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tujuan soal siasat dan dan proses saringan Covid-19 serta tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-Deasoka