STAR dan PN tidak lagi sehaluan – Jeffrey

STAR dan PN tidak lagi sehaluan – Jeffrey

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) membayangkan kemungkinan meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil keputusan menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ia bermakna parti itu bersama dalam penyelesaian kebuntuan politik yang berlaku sebelum ini demi mewujudkan kestabilan.

Mengenai hubungannya dengan PN, beliau berkata ada perbezaan halatuju politik ketika ini yang mana STAR dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama kerajaan perpaduan, manakala PN sebaliknya.

“Nampaknya STAR tidak lagi relevan bersama PN. Kita tidak sehaluan berhubung kerajaan perpaduan, mereka (PN) tidak bersama sedangkan kita (STAR) bersama, jadi apa maknanya itu,” katanya ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Kelmarin, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau, menyatakan keputusan partinya untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan yang dibentuknya.

Sokongan yang sama turut disuarakan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, semalam.

Penyertaan GRS membolehkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar kini memiliki sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta dua Ahli Parlimen Bebas (Kudat dan Tenom).

STAR adalah salah satu parti komponen GRS bersama BERSATU Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Tiga parti dalam GRS juga adalah parti komponen PN iaitu BERSATU Sabah, STAR dan SAPP.

GRS memiliki enam Ahli Parlimen iaitu Jeffrey (Keningau), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Lo Su Fui (Tawau).

-Deasoka

Share

Written by:

1,738 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!