Kerajaan perpaduan diharap tunaikan tuntutan Sabah

Kerajaan perpaduan diharap tunaikan tuntutan Sabah

Keningau: Sabah berharap akan ada keputusan berhubung tuntutan pengembalian hak negeri ini di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata antara yang paling utama ialah tuntutan berkaitan hak kewangan.

“Saya kenal sangat Perdana Menteri yang baharu ini dan beliau juga kenal saya termasuk tahu mengenai tuntutan kita.

“Sehubungan itu, saya berharap dengan kerjasama negeri dan persekutuan yang ada ketika ini, kita akan dapat melihat keputusan yang baik berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan program Rizab Biosfera Banjaran Crocker di Bingkor, dekat sini, hari ini.

Ahli Parlimen Keningau itu menjelaskan antara hak kewangan yang dituntut Sabah ialah pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan dari negeri ini dan 10 peratus cukai eksport petroleum.

Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata walaupun Sabah ketika ini menerima RM120 juta setahun daripada cukai eksport dan eksais, ia berhak menerima 10 peratus daripada cukai eksport produk petroleum yang dianggarkan mencecah RM10 bilion setahun.

“Oleh itu, Sabah sepatutnya menerima kira-kira RM1 bilion setahun,” katanya.

Sementara itu, mengenai program Rizab Biosfera Banjaran Crocker, Jeffrey menekankan kepentingan menyatukan konsep pembangunan mapan kepada usaha meningkatkan sosio ekonomi masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata antara langkah yang boleh diambil ialah mengalihkan aktiviti berkaitan pertanian dan perikanan kepada produk pelancongan.

“Inilah anjakan paradigma yang saya sangat galakkan,” katanya.

Dalam hal itu, Jeffrey menggesa pentadbiran daerah ini untuk melaksanakan pelan Pembangunan Pelancongan Mapan Bingkor dalam tempoh 2023 hingga 2029.

Katanya, pelan berkenaan mesti menekankan konservasi alam dan nilai budaya komuniti etnik tempatan, di samping menggalakkan agro pelancongan.

Beliau turut menekankan keperluan terhadap pembangunan dan promosi pelancongan berasaskan komuniti dan produknya.

Rizab Biosfera Banjaran Crocker merangkumi kawasan seluas 350,000 hektar yang dikategorikan sebagai kawasan konservasi dalam senarai Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Manusia dan Biosfera sejak tujuh tahun lalu.

Kawasannya merangkumi sembilan pentadbiran daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Tuaran, Keningau, Tambunan, Ranau dan Tenom.

Inisiatif di bawah rizab berkenaan menumpukan aktiviti konservasi dan pembangunan tanpa memberi kesan negatif terhadap biodiversiti dan ekosistem semulajadi, khususnya sumber biodiversiti dan bekalan air bersih.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|