Kita sambung yang tergendala?

Kita sambung yang tergendala?

Kota Kinabalu: Tepat jam 5.06 petang Khamis lalu, terpatrilah nama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Mukhathir ini, tersorotlah kisah demi kisah Perdana Menteri yang menanti lebih 24 tahun itu dinobatkan jawatan nombor satu negara.

Tutup kisah Anwar, beliau telah selamat menerima jawatan keramat yang diidamkan selama ini, kita beralih pula kepada sinopsis semasa kerajaan GRS/BN di Sabah.

Baru-baru ini, berlaku ‘perang mulut’ antara kedua-dua jeneral gabungan ini di mana Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mendakwa Ketua GRS yakni Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengabaikan perjanjian mereka apabila Hajiji membuat sokongan kepada Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bung Moktar yang terkenal akan primadona bersuara lantang itu turut menyifatkan Hajiji seolah mengisytharkan perang terhadap BN Sabah kerana tidak menetapi janji.

Bagaimanapun, Hajiji membalas kenyataan tersebut apabila mendedahkan GRS tidak terikat dengan janji berkenaan apabila BN kalah dalam PRU15 dan mendakwa, beliau tetap dengan semangat ukhuwah antara kedua gabungan dengan turun sendiri berkempen membantu calon BN.

Pada Jumaat lalu, satu kenyataan balas telah dilakukan oleh Bung Moktar apabila beliau sendiri berkata, pergeseran terbabit telah selesai dan ia ditambah lagi dengan penerimaan masuk GRS ke Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim seperti di umumkan dalam sidang medianya di Putra Jaya.

Melihat kepada situasi ini, secara tidak langsung memperlihatkan kematangan antara kedua-dua figura politik ini dengan teguh mempertahankan prinsip dan falsafah politik mereka kepada umum, kepada kita rakyat Sabah.

‘Tamat’ episod itu, kita ‘move on’.

Malaysia sudah memilih, Sabah pun sudah, apa yang penting nadi rakyat jangan dilupakan.

Jangan lupa, tatkala banyak pemimpin makan di bawah alat penghawa dingin, masih ramai di kalangan rakyat Sabah masih merintih cukup makankah lagi keesokan hari.

Tamatnya PRU15, sambunglah khidmat anda kepada rakyat, kembalilah ke landasan tepat dan kita sambung yang tergendala.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|