SPRM tahan dua individu berkaitan pemalsuan dokumen kontrak kantin sekolah

SPRM tahan dua individu berkaitan pemalsuan dokumen kontrak kantin sekolah

Sandakan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, hari ini menahan dua individu selepas disyaki memalsukan dua dokumen penting bagi mendapatkan kontrak pengendalian kantin sebuah sekolah di daerah ini antara 2020 hingga 2021.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40 tahun yang bekerja sendiri dan wanita berusia lingkungan 20 tahun yang juga pemilik syarikat itu ditahan di Pejabat SPRM Sabah cawangan Sandakan kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Sumber berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Hasil daripada pemalsuan dokumen itu, kedua-dua suspek memperoleh tender kantin sekolah membabitkan nilai kontrak kira-kira RM30,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 471 dan 109 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|