PM selesai bertemu Agong

PM selesai bertemu Agong

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam berakhir apabila konvoi kenderaan yang membawa pemimpin nombor satu negara itu dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 4.45 petang.

Sebaik melepasi Pintu Satu Istana Negara, Ismail Sabri sempat melambai tangan ke arah pengamal media yang menunggu di situ sejak pagi lagi.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kepada lebih 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa yang ‘berkampung’ di luar pagar Istana Negara apabila konvoi terbabit terus meninggalkan kawasan berkenaan.

Deasoka.com difahamkan, pertemuan kali ini turut membabitkan kehadiran Panglima Angkatan Tentera (PAT) apabila kenderaan membawa Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilihat terlebih dahulu memasuki pekarangan Istana Negara kira-kira jam 2.10 petang.

Kehadiran ramai pengamal media berikutan spekulasi mendakwa Ismail Sabri memohon perkenan Agong berkaitan tarikh pembubaran Parlimen.

Ini bagi membolehkan Parlimen dibubarkan, seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Media juga difahamkan pertemuan kali ini lebih kepada Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Terdahulu, keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu, sebulat suara membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|