SPRM tahan bekas Pengarah Kolej, buat tuntutan palsu lebih RM300,000

SPRM tahan bekas Pengarah Kolej, buat tuntutan palsu lebih RM300,000

Kota Kinabalu: Seorang bekas pengarah sebuah kolej di ibu negeri, di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an terbabit adalah seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di ibu negeri ini.

Katanya, suspek ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi, hari ini, selepas dipanggil hadir untuk memberi keterangan.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan dengan mengemukakan tuntutan palsu bernilai keseluruhan lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan sekitar tahun 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan.

Tuntutan itu melibatkan tiga program yang dilaksanakan di kolejnya dengan membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Tiada permohonan reman dan suspek dilepaskan pada hari yang sama selepas selesai memberi keterangan.

“Wang jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|