Harap sambutan Tahun Baharu Cina lebih meriah tahun depan – STAR Kapayan

Harap sambutan Tahun Baharu Cina lebih meriah tahun depan – STAR Kapayan

Kota Kinabalu: Meskipun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tetap membawa makna tersendiri kepada masyarakat Tionghua dan semua yang turut meraikannya.

Bagaimanapun, mereka berharap agar sambutan pada tahun depan lebih meriah dan dibenarkan mengadakan rumah terbuka bagi membolehkan masyarakat pelbagai kaum dapat saling kunjung-mengunjungi.

Jafery bersama tetamu jemputan pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di kediamannya, di Kota Kinabalu.

Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan, Jafery Jomion berkata, bagi sambutan kali ini, disebabkan kekangan SOP, pihaknya terpaksa mengehadkan kehadiran tetamu selain tidak dapat menjemput ke rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya minta maaf kepada semua masyarakat setempat kerana tidak dapat mengadakan rumah terbuka pada tahun ini disebabkan SOP serta kes Covid-19 yang semakin yang meningkat ketika ini.

“Diharap Covid-19 ini akan hilang dan mudah-mudahan pada tahun hadapan kita boleh mengadakan rumah terbuka dengan acara atau program yang lebih menarik,” katanya selepas mengadakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau memaklumkan, sejak STAR bertapak di Kapayan sembilan tahun lalu, ini adalah kali pertama Ahli Jawatankuasa (AJK) STAR Bahagian yang diketuainya menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli dan beberapa jemputan khas.

Sambutan itu disempurnakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Penampang, Senator Datuk John Ambrose selain turut dihadiri Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Penampang, Datuk Fredy Sua; Penyelaras Parlimen Penampang, Kenny Chua dan Timbalan Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)
Lo Yau Foh @ Roman Lo.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|