Telur ayam sukar didapati, pengguna terbeban harga meningkat

Telur ayam sukar didapati, pengguna terbeban harga meningkat

Kota Kinabalu: Selain sukar mendapat bekalan telur ayam, pengguna di bandar raya ini juga terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barangan termasuk telur ayam.

Ia diakui sendiri oleh seorang pengguna, Magdelina Joseph, 41, yang turut terbeban dengan harga telur ayam yang dilihat semakin meningkat selain sukar didapati.

“Telur ayam ini untuk dimasak di rumah tetapi sejak kebelakangan ini sukar didapati. Kalau di pasar raya, sekejap saja ada bekalan.

“Hargapun naik sudah, memang berbeza banyak kalau dulu RM10 lebih untuk satu papan telur, sekarang ada yang mencecah sehingga RM16. Jadi kena pandai buat perbandingan di kedailah cari harga yang lebih murah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Suhana

Seorang lagi pengguna, Suhana Jamal, 22, berkata dia terpaksa mencari telur ayam di beberapa premis untuk kegunaan seharian di kantin dan katering tempatnya bekerja.

“Saya pernah terpaksa pergi ke beberapa premis untuk mendapatkan lima papan telur untuk kegunaan harian di kantin.

“Ini disebabkan kekurangan bekalan telur selain premis yang menghadkan jualan hanya satu papan telur untuk seorang pelanggan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati memang ada premis terpaksa mengehadkan jualan telur kepada pelanggan supaya semua pelanggan dapat membeli telur ayam berkenaan.

Chung Jade

Pemilik Jetsin Sdn Bhd, Koh Chung Jade, 41, berkata, bekalan telur ayam terganggu sejak awal Januari lalu menyebabkan mereka terpaksa mengehadkan jualannya.

“Bekalan telur sekarang sangat teruk, biasanya kami akan pesan antara 200 hingga 300 papan sehari tetapi sekarang dapat 100 papanpun saya sudah bersyukur.

“Jadi sebab itu kami terpaksa hadkan satu pelanggan hanya satu papan saja supaya pelanggan lain dapat beli walaupun sikit daripada mereka tidak dapat langsung,” katanya.

Chung Jade berkata, berikutan keadaan itu harga telur ayam kini meningkat secara mendadak disebabkan kurangnya bekalan namun permintaan sentiasa ada.

“Harga semakin naik sehingga RM3 dan untuk sepapan telur bagi gred B dan C ketika ini masing-masing berharga RM14.10 dan RM13.70.

“Tetapi semua harga yang ditetapkan masih di bawah harga kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|