SPRM komited banteras kes babitkan dokumen palsu

SPRM komited banteras kes babitkan dokumen palsu

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sentiasa memandang serius dan komited untuk membanteras kesalahan membabitkan dokumen palsu terutamanya dalam usaha mendapatkan tender kontrak.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy berkata, kebanyakan kes direkodkan sebelum ini melibatkan kontraktor yang mengemukakan dokumen seperti penyata bank palsu.

Katanya, banyak tindakan sudah diambil dalam menahan dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

“Kebanyakkan mereka ini mengaku bersalah, dan sudah dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang ditetapkan.

“Para kontraktor perlu mengambil iktibar supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu kerana ia adalah salah satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Networking SPRM Bersama Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menerusi penganjuran sukan Boling, semalam.

Pada program berkenaan, sebanyak 10 pasukan yang terdiri daripada gabungan pengamal media serta wakil SPRM Sabah terlibat dalam acara yang diadakan di Sutera Harbour Resort.

Sementara itu, Karunanithy berkata, kerjasama bersama media amat penting dalam usaha menyebar luaskan mesej dan maklumat berkaitan pencegahan rasuah.

“Memang sejak dahulu lagi pihak SPRM sentiasa mengadakan kolaborasi bersama media kerana ia selaras dengan salah satu inisiatif di bawah Pelan Anti-Rasuah Nasional.

“Media merupakan salah satu medium yang penting dalam menyebarkan mesej-mesej pencegahan rasuah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|