Maut dilanggar ketika buat pusingan U secara mengejut

Maut dilanggar ketika buat pusingan U secara mengejut

Kota Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Penampang Bypass selepas lampu isyarat Hotel N5, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Lokasi kejadian seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dirempuh kenderaan Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kenderaan pacuan empat roda berkenaan bergerak dari arah pusat Bandar Raya Kota Kinabalu menuju ke Kampung Nosoob, Penampang melalui Jalan Kopungit.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa dalam kemalangan di Jalan Penampang Bypass, selepas lampu isyarat Hotel N5.

“Bagaimanapun sebaik tiba di Jalan Penampang Bypass, motosikal ditunggang mangsa dikatakan membuat pusingan U secara tiba-tiba.

“Disebabkan jarak terlalu hampir, pemandu Ford Ranger tidak sempat memberhentikan kenderaannya dan terus merempuh motosikal berkenaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke bahu kiri jalan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

“Pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|