Belia diseru rebut peluang tersedia

Belia diseru rebut peluang tersedia

Kota Kinabalu: Portal pekerjaan, seperti Sabah Jobs Portal (SJP) dan MYFutureJobs, merupakan platform pencarian pekerjaan setempat dan pengiklanan kekosongan jawatan secara percuma kepada majikan dan pencari kerja dalam sektor swasta.

Justeru, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru kepada golongan belia dan pencari kerja manfaatkan sepenuhnya portal pekerjaan yang disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan dalam usaha mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan.

Menurut beliau, setakat 27 September lalu, sejumlah 5,491 pencari kerja dan 233 majikan yang menawarkan 365 kekosongan jawatan telah mendaftar dengan SJP.

“Dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dan Sabah Jobs Portal mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain, selain menawarkan inisiatif-inisiatif Kerajaan.

“Berdasarkan data PERKESO, sejak Januari sehingga 16 September lalu, jumlah kehilangan pekerjaan adalah seramai 1,013, manakala yang telah diberikan penempatan pekerjaan adalah seramai 10,971,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik, ekonomi negara telah beransur pulih sehingga kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada April tahun ini, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang sehingga Julai 2022 di seluruh Malaysia.

Katanya, berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran bagi negeri Sabah sehingga Mei 2022 ialah sebanyak 9.1 peratus.

“Penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan sektor pekerjaan sehingga menyebabkan banyak industri ditutup sekali gus menyebabkan kadar pengangguran meningkat termasuk mereka yang diberhentikan kerja atau dibuang kerja.

“Justeru, bagi menyahut cabaran yang dihadapi, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk penganjuran karnival kerjaya sebagai medium menghubungkan pencari kerja dengan majikan.

“Karnival kerjaya adalah platform untuk memberi pendedahan kepada golongan belia tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pekerjaan swasta dalam pelbagai bidang pekerjaan,” katanya.

Hajiji berkata, inisiatif yang dilakukan oleh PERKESO menerusi program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan pengambilan pekerja sepanjang tahun ini.

“Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.

“Dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah Pangkalan Data perlu dibangunkan dengan mempergiat usaha pelaksanaan program outreach pemprofilan pencari kerja di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keluhan rakyat dan sentiasa mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka, termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

Tegas beliau, bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai inisiatif berkonsepkan pekerjaan dan kerjaya telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

Antaranya adalah dengan pengenalan inisiatif baharu, Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) bagi membantu belia Sabah mengembangkan perniagaan sedia ada, atau memulakan perniagaan baharu setelah kehilangan pekerjaan selepas pandemik COVID-19.

Karnival Kerjaya Perdana merupakan program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan agensinya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dianggarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 20 majikan daripada pelbagai sektor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|