Sabah komited dalam usaha tuntut 40 peratus pulangan hasil – Hajiji

Sabah komited dalam usaha tuntut 40 peratus pulangan hasil – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited dalam usaha menuntut 40 peratus pulangan hasil negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia akan dilakukan menerusi perbincangan yang akan diadakan bersama Kerajaan Persekutuan.

Hajiji ketika menyempurnakan pelancaran Karnival Kerjaya Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

“Dalam konteks tuntutan 40 peratus pulangan yang harus balik kepada Sabah.

“Kita sedang terus menuntut dan berusaha untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini,” katanya kepada media ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Kerjaya Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan reaksi sesetengah pihak yang mendakwa bahawa peningkatan peruntukkan sebanyak 20 peratus dalam Bajet 2023 tidak berbaloi kerana Sabah seharusnya menerima sehingga 40 peratus daripada pulangan hasil.

“Saya juga lebih suka jika kita menerima lebih banyak bantuan, tetapi dalam hal mengurus negara ini banyak perkara yang perlu diambil kira.

“Tetapi ini tidak bererti bahawa negeri Sabah tidak memerlukan bantuan ataupun peruntukkan yang lebih besar, kita juga, memerlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sambil menzahirkan ucapan tahniah, Hajiji berkata, pembentangan Bajet 2023 yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersesuaian dalam usaha untuk memulihkan sektor ekonomi tempatan, pasca pandemik Covid-19.

“Dalam bajet yang telah dibentangkan, ianya merangkumi pemberian manfaat dan faedah kepada semua segmen Keluarga Malaysia di negara ini.

“Saya juga melihat ia sebagai satu bajet yang akan merancakkan lagi pemulihan ekonomi selepas kita menghadapi pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Terdahulu, peruntukkan sebanyak RM6.1 bilion telah diumumkan untuk negeri Sabah di bawah Bajet 2023, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20.45 peratus daripada tahun sebelumnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|