Manfaatkan sepenuhnya peruntukan Bajet 2023

Manfaatkan sepenuhnya peruntukan Bajet 2023

Kota Kinabalu: Pembentangan Bajet 2023 disifatkan sebagai bajet yang prihatin serta mencakupi seluruh aspek latar belakang kehidupan rakyat Malaysia.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, beliau berharap agar jumlah yang diperuntukkan itu akan dapat diguna pakai dan dimanfaatkan sepenuhnya pada tahun hadapan.

“Sebagaimana yang kita alami pada tahun ini, peruntukkan pembangunan mungkin tidak dapat digunapakai dalam jumlah yang begitu tinggi, ini mungkin disebabkan oleh pelaksanaan yang berdepan dengan pelbagai halangan.

“Peruntukan telah diadakan, justeru, kita minta agar pelaksanaannya dilaksanakan secara efisyen, efektif dan mengoptimakan peruntukan yang diberikan untuk negeri Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas Program Koir Perpaduan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Ketika ditanya mengenai reaksi kepada pembentangan Bajet 2023, Shahelmey menyifatkan ia sebagai menyeluruh dan inklusif.

Jelas beliau, ia merangkumi golongan B40, M40, T20, golongan rentan, wanita malah turut memberikan tumpuan terhadap pemulihan eknomi negara.

“Kita juga tertarik dengan bantuan kebajikan yang telah dinaikkan, di mana bantuan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta golongan wanita.

“Salah satu daripadanya adalah aspek dalam mengalakkan wanita untuk bekerja semula, selain tabung ataupun peruntukkan yang diberikan kepada wanita untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, hadir menyempurnakan majlis penutupan pertandingan koir itu, katanya, ia merupakan salah satu program yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah.

Tambah beliau, tujuan pelaksanaan program berkenaan adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|