BERSATU Tawau sudah hantar nama calon PRU15

BERSATU Tawau sudah hantar nama calon PRU15

Tawau: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tawau sudah menghantar nama calon untuk bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagian BERSATU Tawau Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia adalah prosedur biasa untuk melihat senarai nama yang dikira layak menjadi calon mewakili parti sama ada layak atau tidak.

“Kita menyerahkan kepada pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menentukan yang terbaik untuk Parlimen Tawau.

“Apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan, kami akan menerima dengan hati terbuka dan membantu memenangkan calon GRS dalam PRU15 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan SriKandi BERSATU Bahagian Tawau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Sri Tanjung merangkap Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Lo Su Fui.

Nizam yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata, BERSATU Tawau akan sentiasa berusaha supaya perpaduan antara semua komponen GRS dan Barisan Nasional (BN) akan terus utuh dan kekal bekerjasama.

“Kalau kita berpecah belah, sudah pasti gerak kerja dalam PRU15 nanti akan menghadapi masalah, sekali gus memberi peluang kepada parti lain.

“Saya meminta semua jentera BERSATU disemua peringkat terus menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dengan komponen GRS-BN yang lain,” katanya.

Jelas beliau lagi, semua jentera BERSATU juga diminta untuk mengenal pasti pengundi di cawangan masing-masing supaya memudahkan kerja semasa PRU nanti.

“Kita mahukan semua jentera bergerak dan bekerja menyantuni rakyat di akar umbi supaya pengundi mudah mengenali calon GRS.

“Saya mahukan BERSATU Tawau terus membantu dan membela rakyat setiap masa dan bergerak dalam satu pasukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|