PRU-15: UMNO Kalabakan mahu calon ahli bahagian

PRU-15: UMNO Kalabakan mahu calon ahli bahagian

Tawau: UMNO Bahagian Kalabakan berharap pucuk pimpinan akan meletakkan calon dalam kalangan ahli peringkat bahagian di sini, untuk bertanding di kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pihaknya juga mohon supaya kepimpinan tertinggi dapat meneliti sepenuhnya calon bagi kerusi Parlimen Kalabakan.

Menurutnya, calon yang dipilih mestilah memenuhi kriteria ‘winnability, acceptibility, likeability’ (WALI) yang ada pada ahli UMNO Kalabakan.

“Pemilihan calon yang tepat sangat penting dan harus dibuat secara teliti kerana PRU15 ini kita mesti menang supaya kerusi Parlimen Kalabakan boleh dirampas semula daripada pihak pembangkang.

“Bagaimanapun, perbincangan masih diperingkat awal dan hanya menunggu keputusan pemimpin tertinggi kerana kita sudah menghantar nama yang dirasakan layak dalam kalangan ahli yang ada,” katanya.

Beliau demikian ketika ditemui dalam majlis perasmian ‘Tawau Maker Fair 2022’ di sini, hari ini.

Andi Muhammad
yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, setakat ini belum ada lagi perbincangan dibuat mengenai calon luar akan bertanding mewakili UMNO di Parlimen Kalabakan.

“Kita juga ada mendengar ura-ura calon luar berhasrat mahu bertanding atas tiket UMNO di Kalabakan, tetapi ini masih belum dapat dipastikan lagi kesahihannya.

“Sebagai ketua bahagian, saya fikir lebih baik calon diberikan kepada ahli yang sudah berkerja keras dalam memastikan UMNO terus kukuh di Kalabakan,” katanya.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, program ini sangat baik kerana pelajar diberikan pendedahan dengan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

Katanya, program yang membabitkan 55 pasukan daripada 25 sekolah di seluruh daerah Tawau dan berdekatan ini mampu mengembangkan kemahiran pelajar secara kreatif.

“Saya menyambut baik program ini dan mengharapkan ia diadakan setiap tahun dan pemenang akan dapat mewakili negeri diperingkat kebangsaan.

“Saya juga berharap semua sekolah di daerah ini dapat menyertai program ini kerana pelajar yang didedahkan dengan STEAM pasti mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|