Program USR beri pendedahan kepada pelajar cabaran industri pelancongan

Program USR beri pendedahan kepada pelajar cabaran industri pelancongan

Kota Kinabalu: Penganjuran Program University Social Responsibility (USR) dan Acara Bual Bicara bertujuan memberi pendedahan pelajar kepada cabaran-cabaran dalam industri pelancongan.

Kedua-dua program berkenaan hasil kerjasama pelajar University College Sabah Foundation (UCSF), Persatuan Malim Gunung Kinabalu (PEMANGKINA) dan MMU Melaka.

Pensyarah UCSF, Siti Halijah Tuah berkata, matlamat bual bicara ini adalah untuk membolehkan pelajar menyedari cabaran yang menanti dalam industri pelancongan khususnya dalam bidang pemandu pelancong.

Katanya, pelajar juga berpeluang untuk mendapatkan pencerahan secara terus mengenai kerjaya sebagai seorang malim gunung.

“Selain mendedahkan pelajar terhadap peranan dan tanggungjawab malim gunung ketika membimbing pelancong, acara ini juga akan menyumbang kepada inisiatif unik Fakulti Pengurusan & Keusahawanan (FME) yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dan “industrial ready” untuk memenuhi permintaan daripada industri.

“Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan bagi program USR hasil kerjasama antara UCSF & MMU Melaka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Siti Halijah berkata, kombinasi kedua-dua program USR dan Bual Bicara ini diharapkan akan menyuburkan serta mengukuhkan kolaborasi di antara FME UCSF Sabah, Fakulti Undang-undang MMU Melaka dan masyarakat iaitu ahli-ahli PEMANGKINA.

“USR ialah program atau aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti untuk memberi manfaat kepada komuniti atau industri luar.

“Matlamat program ini adalah untuk membantu 50 orang pelajar keperluan asas sekolah pada masa endemik ini,” katanya.

Sementara itu, program bual bicara Perkongsian Industri bersama Malim Gunung telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Pengerusi PEMANGKINA, Richard Soibi.

Ia merupakan satu program pendedahan industri kepada pelajar yang mengambil kursus Diploma in Tourism Management & Bachelor of Hospitality and Tourism Management.

Antara yang hadir ialah Dekan FME UCSF, Barbarawati Richard serta para pensyarah FME UCSF; Dekan Fakulti Undang-Undang MMU Melaka, Dr Kuek Chee Ying; Timbalan Dekan bagi Pengalaman Pelajar dan Alumni, Gary Ng Kit Ming.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|