Ford Ranger Raptor kini berkuasa turbo berkembar V6

Ford Ranger Raptor kini berkuasa turbo berkembar V6

Sepang: Sime Darby Auto ConneXion (SDAC)
selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia secara rasminya memperkenalkan Ranger Raptor generasi baharu yang sinonim dengan gaya dan kelasakan baik di atas jalan biasa atau ketangkasannya ketika off-road.

Disuntik dengan DNA Ford Performance, Ranger Raptor generasi kedua ini meletakkan tanda aras baru bagi kenderaan prestasi berkelajuan tinggi yang dibangunkan untuk pencinta cabaran off-road serta kepada pelanggan yang mahu teknologi termaju dalam sebuah trak.

Grill hadapan tampak garang.

“Kami memberi tumpuan terhadap prestasi sebenar kenderaan melalui Ranger Raptor generasi baharu, yang mana pelanggan boleh menikmatinya terus tanpa sebarang modifikasi.

“Ia lebih pantas, tampil lebih menarik dan padat dengan ciri baharu dengan kemampuan ekstrim yang tidak ditawarkan sebelum ini,” ujar Pengarah Urusan, Pasaran Pengedar Ford Asia Pasifik, DJ Simpson ketika pelancarannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Skrin infotainmen besar dan canggih.

Perbezaan paling utamanya tentulah enjin 3.0L petrol V6 turbo berkembar baharu yang ditala oleh Ford Performance bagi menawarkan kuasa sehingga 393 hp pada 5,650 rpm dan 583 Nm tork pada 3,500 rpm.

Enjin ini memanfaatkan rekaan blok silinder graphite-iron kompak, yang lebih kuat dan keras berbanding logam biasa yang digunakan dalam enjin konvensional.

Papan pemuka kemas.

Digandingkan bersama transmisi automatik 10-kelajuan, Ranger Raptor generasi baharu hampir dua kali lebih pantas berbanding model sebelumnya.

Enjin V6 ini juga datang dengan sistem anti-lag perlumbaan (hanya dalam mod Baja), yang membiarkan pengecas turbo berpusing sehingga tiga saat selepas pemandu melepaskan pendikit.

Balutan kulit serba mewah.

Ini membolehkan sambungan pecutan yang lebih cepat untuk keluar selekoh atau ketika peralihan gear sebelum pemandu kembali menekan pendikit.

Jurutera Ford telah melakukan penambahbaikan penting pada casis dan Ranger Raptor generasi baharu.

Lampu belakang LED yang bergaya

Peningkatan ini digabungkan juga dengan penyerap hentak FOX 2.5-inci Live Valve talaan Ford Performance dan ciri Bottom-Out Control FOX yang memperkemaskan lagi keselesaan dan pengendaliannya.
Suspensi Ranger Raptor generasi baharu telah direka semula.

Lengan kawalan atas dan bawah diperbuat daripada aluminium ringan tetapi lebih kuat, jarak gerak suspensi yang lebih panjang.
Sistem 4×4 Electronic Shift-On-The-Fly (ESOF) pada Ranger Raptor ini telah dinaik taraf dengan adanya transfer case dua-kelajuan kawalan elektronik mengikut keperluan serba baru dengan empat tetapan.

Ranger Raptor generasi baharu ini, dengan lengkung roda lebih ketara memberikan imej lebar, ejaan F-O-R-D yang besar serta bampar yang terpisah daripada gril.
Rim aloi 17-inci, lampu LED, scuff plates Ford Performance serta pemijak sisi aluminum yang baru dan tahan meningkatkan lagi imej kental kepada Raptor ini.

Di depan, DNA rekaan Ford global terserlah dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED bentuk C, sementara lampu utama Matrix LED dengan lampu belokan dinamik, lampu tinggi anti-silau serta tahapan dinamiknya menyediakan penglihatan maksimum tanpa menyilaukan mata pengguna lain.

Di dalam, kabinnya menampilkan kerusi balutan kulit dengan rekaan dari ilham jet pejuang, yang bukan hanya lebih selesa tetapi juga lebih sokongan
terutama ketika membelok dalam kelajuan tinggi. Kerusi pemandu menerima larasan 10-arah kuasa elektrik, sementara kerusi penumpang dengan larasan 10-arah manual.

Ruang dalaman warna Ebony diserlahkan juga dengan perincian Code Orange, stereng
sport balutan kulit dengan paddle shifter magnesium, tombol gear kulit dengan e-shifter dan lampu suasana melengkapkan rasa premium dalam kabin Ranger Raptor ini.

Ranger Raptor generasi baharu ini memanfaatkan kabin digital penuh dengan menampilkan
paparan kluster resolusi tinggi 12.4-inci TFT dan skrin sentuh 12-inci di tengah yang menempatkan sistem infotainmen Ford SYNC ® 4A dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari sudut keselamatan, Ranger Raptor generasi baharu dilengkapi pakej bantuan pemanduan yang lengkap dan termaju.

Ford Ranger Raptor generasi baharu ini dijual pada harga RM259,888 (tanpa insurans) bagi Semenanjung Malaysia) dan RM263,888, kedua-duanya tanpa insurans dengan pilihan warna yang ada termasuk Code Orange terbaru, sebagai tambahan kepada Absolute Black, Arctic White, Conquer Grey, Lightning Blue.

Ranger Raptor generasi baharu ini datang dengan jaminan pengeluar lima-tahun, atau 160,000 km, yang mana dulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|