GTA bakal dilancarkan di Sabah

GTA bakal dilancarkan di Sabah

Kota Kinabalu: Pelancaran Gerakan Tanah Air (GTA) negeri Sabah dijangka akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah semua urusan penyempurnaan struktur negeri selesai.

Terdahulu, ketua-ketua parti peringkat negeri bagi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bersatu Sasa Malaysia (MUPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan wakil-wakil daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung perkara itu, di sini, hari ini.

Kesemua mereka bersama kumpulan sokongan masing-masing telah menyatakan kefahaman serta persetujuan untuk penubuhan GTA di negeri ini.

Selain itu, mereka turut mengadakan perbincangan mengenai kesediaan untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penubuhan GTA di Sabah dengan penekanan khusus terhadap usaha memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah melalui misi utama iaitu ‘Gemilangkan Sabah’ juga sejajar dengan parti itu yang sudah ditubuhkan secara rasmi di Semenanjung.

Ketua Negeri PEJUANG Sabah, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah akan mengetuai GTA di peringkat negeri Sabah setelah mendapat persetujuan daripada pusat serta sokongan penuh daripada ketua-ketua parti dan NGO yang hadir pada sesi itu.

Sehubungan itu, struktur kepimpinan GTA di peringkat negeri pula akan ditetapkan segera yang dijangka dilakukan melalui muafakat di antara parti-parti gabungan serta badan NGO yang terlibat, untuk memastikan program-program bersama rakyat dapat dijalankan dengan efektif.

Antara Ketua-Ketua Parti peringkat negeri yang hadir bersama sesi itu ialah Jeffrus Maimin Rijan daripada PUTRA, Dr Shubaiddin Langkap daripada MUPP, serta Datuk Roman Lo daripada wakil NGO.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|