Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dinamakan semula sebagai Kementerian Tugas-Tugas Khas

Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dinamakan semula sebagai Kementerian Tugas-Tugas Khas

Sandakan: Mesyuarat Kabinet negeri bersetuju menamakan semula Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas sebagai Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan berkuatkuasa serta merta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mengumumkan perubahan itu hari ini berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet negeri yang diadakan pada 5 Oktober lalu.

Tun Juhar diiringi Hajiji menyampaikan anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori lelaki kepada Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Sandakan.

“Keputusan ini adalah bagi mengiktiraf peranan kementerian selama ini dalam menyelaraskan hal ehwal pendidikan dan hal ehwal Islam di negeri ini.

“Semoga dengan ini dan bersempena pada hari yang mulia ini, Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan akan terus bekerja keras untuk memajukan hal ehwalberkaitan pendidikan dan Islam di negeri ini,” katanya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, hari ini.

Tun Juhar diiringi Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori wanita kepada Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang juga bekas Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Haji Suhaibul.

Sambutan berkenaan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sikap berdikari Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi umat Islam khususnya anak-anak muda di negeri ini.

Beliau berkata, Rasulullah sejak zaman remajanya lagi telah belajar berdikari dengan menggembala kambing dan berdagang sebagai sumber pendapatan bagi menyara kehidupan.

Tun Juhar diiringi Hajiji dan pemimpin lain mengetuai perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat negeri di Sandakan.

“Kesemua yang dilakukan Rasulullah sebagai upaya mengurangkan kebergantungan hidup kepada orang lain di samping tidak mahu menyusah dan mengharap belas kasihan orang di sekelilingnya.

“Justeru, bersesuaian dengan citra kelahiran dan perutusan Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat yang memacu perubahan dan pembaharuan, seharusnya umat Islam hari ini memiliki tekad serta kaedah baharu dalam mengharungi cabaran semasa.

“Antara lain tekad dan kaedah yang dimaksudkan itu adalah memiliki kemampuan berusaha dan berdikari bagi mengelakkan kebergantungan umat Islam terhadap orang lain,” katanya.

Beliau berkata umat Islam juga perlu terus belajar, menguasai ilmu dan kemahiran terkini sambil menghayati ajaran al-Quran dan sunnah bagi mengelakkan diri kekal dalam kemunduran.

“Sedarilah bahawa kegemilangan atau kegagalan negara pada masa akan datang, semuanya bergantung kepada bagaimana anda mencorakkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata prinsip perpaduan perlu terus dijadikan teras kekuatan dan ketinggian martabat masyarakat Islam kerana membina perpaduan adalah antara sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.

“Atas asas itu, kerajaan akan terus berusaha memakmurkan negeri ini, membangunkan ekonomi dan rakyatnya bersatu padu. Justeru, dalam mendepani aspirasi perubahan dan pembaharuan, ia juga harus berorientasikan kepentingan rakyat.

“Kita tidak boleh membuang masa untuk terjebak dan melayan perbalahan dalam ikhtiar dan berkhidmat demi rakyat. Sebaliknya, kita perlu terus komited menumpu sepenuh kudrat dan usaha merencana agenda membangun negeri ini dan modal insan yang berkualiti serta berintergriti selain kreatif dan inovatif demi manfaat rakyat.

“Bagi tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif telah dan akan dirancang oleh kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya demi memastikan tiada rakyat Malaysia di Sabah ketinggalan dalam merasai nikmat serta kemakmuran negara,” katanya.

Beliau juga mahu tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, akan dijadikan pegangan untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia di negeri ini.

“Tema ini amat sesuai dengan kita di Sabah, sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan perpaduan dan bersatu padu demi keamanan serta kemakmuran negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|