SPR perlu terbuka cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

SPR perlu terbuka cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersikap terbuka terhadap cadangan Sabah dan Sarawak untuk menambah bilangan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki berkata, SPR perlu sentiasa dilihat bebas dan bertindak secara mandiri dalam segala tindakan.

Julita Majungki

“Jadi mereka tidak sepatutnya cepat menolak idea daripada pemimpin Sabah dan Sarawak yang bertujuan untuk mengukuhkan Parlimen Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menjawab kenyataan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar mengenai penambahan jumlah kerusi Parlimen adalah tidak munasabah, Julita menegaskan SPR seharusnya terbuka kepada transformasi dalam sistem pilihan raya.

“Sebagai bekas pegawai kanan SPR, beliau harus menghormati semangat pembentukan Malaysia demi kebaikan Parlimen.

“Tambahan lagi, ini merupakan warisan bapa pengasas kita yang tidak mahu Malaya mendapat lebih daripada dua pertiga majoriti untuk mengelakkan mereka meluluskan undang-undang tanpa sokongan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau menambah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang juga Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, 17 tahun lalu, dan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang wujud ketika ini telah mengesahkan perkara itu.

Julita berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, yang dibentuk untuk memperbaiki proses Parlimen pada 2005, turut menyenaraikannya sebagai salah satu daripada 21 cadangan mereka.

“Banyak antara cadangan-cadangan itu yang telah diterima pakai oleh SPR, termasuk pengurangan umur pengundian, undang-undang anti lompat, dan pembiayaan politik antara lain.

“Berdasarkan rekod perbincangan oleh bapa-bapa pengasas Persekutuan Malaysia, ia adalah keinginan politik mereka bahawa kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan akan menjadi lebih satu pertiga secara keseluruhan bagi memastikan perwakilan seimbang untuk tnegeri Borneo dan Singapura.

“Ini adalah untuk memastikan bahawa tiada undang-undang boleh diluluskan oleh Malaya tanpa sokongan daripada komponen bukan Malaya Persekutuan,” katanya lagi.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, aspirasi bapa-bapa pengasas itu perlu diakui dan dihormati.

“Kita berharap komen yang dibuat oleh Wan Ahmad, walaupun sebagai bekas Timbalan Pengarah SPR, tidak mencerminkan dan mewakili SPR.

“Selain itu, tidak wajar untuk SPR, sebagai badan bebas, dengan cepat menolak idea-idea yang bertujuan untuk memulihkan baki perwakilan dalam pengundian dan mengukuhkan Parlimen Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|