MUDA masuk Semporna

MUDA masuk Semporna

Semporna: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meluaskan pengaruhnya ke pantai timur Sabah menerusi pembukaan bahagian baharunya di Semporna.

Ketua Parlimen MUDA Semporna, Yusof Pg Abd Kasim berkata peluasan parti itu ke Semporna menunjukkan situasi yang sangat positif berdasarkan penerimaan keahlian secara berterusan.

Ketua Parlimen MUDA Semporna, Yusof Pg Abd Kasim.

Malah, katanya parti itu sememangnya sangat dinantikan khususnya golongan belia berikutan keyakinan terhadap kemampuan MUDA yang dilihat boleh membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.

“Sejak penubuhannya pada awal Julai lalu, keahlian MUDA sudah mencecah seramai lebih 200 orang dan dijangka akan terus bertambah dari semasa ke semasa.

“Kita akan terus bergerak dan turun padang untuk memperkenalkan parti ini kepada masyarakat Semporna terutamanya golongan belia supaya mereka lebih faham agenda yang dibawa oleh MUDA,” katanya pada majlis perjumpaan santai dan soal jawab ahli MUDA Semporna yang dihadiri lebih 70 ahli MUDA, di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan berani untuk menubuhkan MUDA di Semporna didorong keinginan untuk melihat inspirasi anak muda dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, beliau selalu mendengar keluhan golongan belia di daerah ini, mengenai suara dan pendapat mereka yang tidak didengar oleh pimpinan atasan.

Berikutan itu, jelasnya MUDA adalah platform terbaik untuk membawa suara belia agar kerajaan mengambil tahu dan lebih perhatian terhadap keperluan belia di negeri ini.

Yusof berkata, belia di daerah ini sudah muak dengan politik jumud dan lama yang dipamerkan pemimpin sedia ada.

“Mereka perlukan pembaharuan politik supaya pembangunan negara terus berkembang seiring dengan kemajuan intelektual masyarakat sekarang.

“Kita akan cuba terapkan politik khidmat supaya setiap ahli boleh turun padang dan menyantuni semua golongan di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|