Letusan gunung berapi lumpur fenomena biasa – pakar geologi

Letusan gunung berapi lumpur fenomena biasa – pakar geologi

Kota Kinabalu: Letusan gunung berapi lumpur di Tabin, Lahad Datu yang tular di media sosial malam ini disifatkan sebagai kejadian biasa.

Pakar geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul, berkata letusan gunung berapi lumpur berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.

Prof Dr Felix Tongkul

“Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif) kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa bumi,” katanya.

Berdasarkan video yang tular di Facebook malam ini, gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, itu dilihat memuntahkan lumpur dalam jumlah yang banyak.

Kejadian itu dipercayai berlaku pagi tadi sebelum tular di media sosial malam ini, dipercayai selepas dimuat naik oleh individu yang kebetulan berada berhampiran lokasi gunung berapi lumpur berkenaan.

Video fenomena itu kemudian dikongsi netizen di laman Facebook masing-masing dengan kebanyakan komen menyuarakan ketakjuban mereka terhadap fenomena berkenaan.

Tidak kurang juga yang mengaitkan fenomena itu dengan kemungkinan berlaku gempa bumi, bagaimanapun tiada laporan gegaran gempa bumi dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kewujudan gunung berapi lumpur bukan sesuatu yang baharu di Sabah, malah selain di Tabin, ia juga boleh ditemui di daerah lain dengan antara yang popular di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.

Malah, Pulau Tiga dikatakan terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi lumpur pada 1897 berikutan gempa bumi di Mindanao, selatan Filipina.

Kini, Pulau Tiga menjadi tumpuan pelancong untuk mandi lumpur di ‘kawah’ gunung berapi lumpur di pulau berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|