SPR perlu beri penjelasan peningkatan pengundi – Bung Moktar

SPR perlu beri penjelasan peningkatan pengundi – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi penjelasan berhubung peningkatan mendadak pengundi di Sabah, termasuk kehadiran pengundi Melayu yang didakwa paling ramai didaftarkan sebagai pengundi baharu di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata penjelasan itu penting bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif selain dapat menghuraikan persoalan pelbagai pihak terutama parti politik berhubung perkara itu.

Katanya, beliau sendiri terkejut mendapati peningkatan mendadak pengundi di Sabah selepas SPR mengeluarkan daftar pemilih baharu yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bulan depan.

“Peningkatan mendadak pengundi ini berlaku di seluruh negeri, dari Kudat, Keningau dan kawasan lain. Oleh itu, SPR perlu segera memberi penjelasan berhubung perkara ini.

“Kita juga hairan kenapa ramai pengundi baharu ini adalah Melayu, malah di Penampang yang majoriti pengundinya adalah Kadazandusun, tiba-tiba ramai pengundi baharu berbangsa Melayu.

“Mungkinkah ada kesilapan atau perkara yang disengajakan, jadi kita perlu tahu supaya ia tidak menimbulkan persepsi tidak baik kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mengulas isu peningkatan mendadak pengundi Sabah yang hangat disebut beberapa pihak sejak dua tiga hari lalu, menjelang PRU-15 yang dijadualkan pada 19 November depan.

Berdasarkan daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR, Sabah kini mempunyai 1.68 juta orang pengundi berbanding 1.1 juta orang pada 2018 iaitu peningkatan 53.9 peratus.

Daftar pemilih yang diwartakan pada Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar mencatat jumlah pengundi tertinggi dengan 107,463 pengundi, diikuti Lahad Datu (99,741) dan Tawau (87,189).

Bung Moktar berkata, kawasan Parlimen Kinabatangan yang disandangnya turut merekodkan peningkatan yang tinggi daripada 28,730 pengundi pada PRU14 (2018) kepada 44,564 pengundi pada PRU15 ini.

“Jumlah peningkatan itu boleh dikatakan sangat tinggi, iaitu hampir sekali ganda, jadi harus ada penjelasan kenapa ia boleh meningkat sehingga begitu sekali,” katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut meminta SPR memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Jeffery turut meluahkan kehairanannya terhadap peningkatan mendadak pengundi di kawasan Parlimen Keningau yang disandangnya yang didakwanya melebihi 70 peratus iaitu daripada 51,777 orang pada 2018 kepada 87,371 orang pada 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|