Rumah 12 pintu musnah terbakar

Rumah 12 pintu musnah terbakar

Kinabatangan: Satu blok rumah yang mempunyai 12 pintu, musnah dalam kebakaran di Kampung Suan Lamba, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.38 petang.

Menurutnya, sepasukan 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan Beluran dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran sedang berlaku membabitkan satu blok rumah mempunyai 12 pintu yang terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dari sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Api berjaya dikawal pada jam 5.43 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 7.31 malam.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|