PRU-15: Wetrom sah bertanding di Kota Marudu

PRU-15: Wetrom sah bertanding di Kota Marudu

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda sah akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bulan depan.

Beliau sebelum ini disahkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu.

Kerusi berkenaan milik rakan BERSATU dalam GRS, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dijangka dipertahankan penyandangnya yang juga Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Wetrom akan bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang baru disertainya beberapa hari lalu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden PKDM, Datuk Peter Anthony pada sidang media selepas menghadiri majlis makan malam bersama PKDM Kota Kinabalu, di sini, malam ini.

Pada sidang media itu, Peter memaklumkan PKDM akan bertanding pada PRU-15 tapi tidak mendedahkan jumlah kerusi, selain berkata akan membuat pengumuman apabila sampai masanya.

Selain Kota Marudu, Peter berkata PKDM juga akan meletakkan calon di Kota Kinabalu yang akan digalas Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Liaw Kit Siong.

“Buat masa ini kami belum putuskan (jumlah dan kerusi mana akan ditandingi), kita tunggulah, tidak lama lagi penamaan calon.

“Bagaimanapun yang pasti setakat ini ialah seperti yang saya umumkan tadi (Kota Kinabalu) dan juga Wetrom di Kota Marudu,” katanya.

Mengenai hubungan PKDM dengan GRS, Peter berkata, pihaknya masih mesra dengan kerajaan GRS-Barisan Nasional (GRS-BN).

Katanya, tiada salahnya PKDM menguji kekuatan sebagai sebuah parti yang baharu ditubuhkan pada pilihan raya kali ini.

“Kita masih mesra GRS, seperti yang saya katakan sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor seorang pemimpin yang tiada tolak bandingnya.

“Cuma di peringkat parti kita membuat keputusan untuk bertanding kerana ini pilihan raya Parlimen, di peringkat negeri kita tetap akan sokong GRS,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Peter turut mengumumkan akan bertanding menggunakan logo ‘bunga rafflesia’ mereka sendiri pada PRU-15 nanti.

“Ini penampilan pertama kami, kita tengoklah macam mana nanti,” katanya.

Sementara itu, Wetrom menjelaskan yang beliau membuat keputusan memilih PKDM sebagai wadah baharu politiknya kerana mengambil kira suara akar umbi di Kota Marudu.

“Saya membuat keputusan keluar dari BERSATU kerana melihat keadaan di Kota Marudu dan aspirasi rakyat di situ.

“Pada mulanya saya ingin menyertai parti itu (WARISAN) seperti yang kamu semua tahu, tetapi selepas mendengar suara di peringkat akar umbi yang mengatakan PKDM adalah parti terbaik yang mampu mengangkat rakyat Sabah, saya membuat keputusan untuk menyertai parti ini,” katanya.

Wetrom sebelum ini dilihat menghadiri program Parti Warisan (WARISAN) di Matunggong dan Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan spekulasi yang beliau mahu menyertai parti itu.

Namun, beliau kemudian dilaporkan mengisi borang keahlian PKDM dengan disaksikan Peter sendiri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|