SPR, JPN beri penjelasan isu lonjakan pengundi Sabah Selasa ini. – Hajiji

SPR, JPN beri penjelasan isu lonjakan pengundi Sabah Selasa ini. – Hajiji

Tenom: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberi penjelasan berhubung lonjakan pengundi baharu di Sabah, Selasa ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu sudah dibincang di Kabinet negeri pada Rabu lalu dan meminta agar SPR serta JPN memberi penjelasan.

Katanya, lonjakan jumlah pengundi baharu yang terkandung dalam daftar pemilih terbaharu dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah meragukan.

“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita sudah bincang di Kabinet pada Rabu lalu. Kita minta penjelasan SPR dan Pengarah JPN pada Selasa ini,” katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom, Datuk Rubin Balang.

Hajiji berkata lonjakan pengundi baharu yang kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dalam daftar pemilih terbaharu SPR mungkin bukan berasal dari negeri ini atau Semenanjung.

Katanya, perkara yang meragukan itu perlu dijelaskan oleh SPR kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kalau ini berlaku, ‘palis-palis’ janganlah, tidak ‘onsoi’ kita di sini.

“Kita tidak mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan dengan pihak yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Hajiji berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan SPR berhubung lonjakan jumlah pengundi di Sabah selepas perkara itu dibangkitkan rakan parti dalam GRS, termasuk Jeffrey.

Berdasarkan daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR, Sabah kini mempunyai 1.68 juta orang pengundi berbanding 1.1 juta orang pada 2018 iaitu peningkatan 53.9 peratus.

Daftar pemilih yang diwartakan pada Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar mencatat jumlah pengundi tertinggi dengan 107,463 pengundi, diikuti Lahad Datu (99,741) dan Tawau (87,189).

Jeffery turut meluahkan kehairanannya terhadap peningkatan mendadak pengundi di kawasan Parlimen Keningau yang disandangnya yang didakwanya melebihi 70 peratus iaitu daripada 51,777 orang pada 2018 kepada 87,371 orang pada 2022.

Sementara itu, Hajiji mengumumkan kerajaan negeri akan mengeluarkan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung bagi rakyat di Tenom.

“Kita akan mengeluarkan tanah itu bagi memastikan rakyat kita yang tinggal di kawasan SFI mendapat kawasan perkampungan yang rasmi untuk anak cucu mereka,” katanya.

Pada majlis itu juga, Hajiji menerima kemasukan lebih 1,000 penyokong Parti Warisan (WARISAN) dan PKR yang beralih menyokong GRS di Tenom.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|