Lelaki ditahan, rogol kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun

Lelaki ditahan, rogol kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun

Semporna: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan warga asing berusia 8 tahun di sebuah kampung di sini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 40 tahun terbabit ditahan di rumahnya, kira-kira jam 2.30 pagi selepas polis menerima laporan kes dua jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mengikut siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8.30 malam Khamis lalu.

Katanya, mangsa dikatakan dibawa oleh suspek menaiki sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.

“Mangsa yang ditemui rakannya dalam keadaan lemah di belakang sebuah pasaraya di sini, memberitahu bahawa dia dirogol oleh suspek.

“Mangsa kemudiannya dibawa kenHospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan di rumah tidak bernombor di sebuah kampung, di sini.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

“Suspek masih ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan orang awam yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Inspektor Adham Ramli ditalian 011-10145004 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|