Sabah dapat ekuiti dalam projek PETRONAS

Sabah dapat ekuiti dalam projek PETRONAS

Tenom: PETRONAS bersetuju memberikan ekuiti atau pegangan dalam beberapa projeknya di Sabah sebagai syarat untuk menyalurkan gas asli dari negeri ini ke Bintulu, Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia termasuk ekuiti masing-masing 25 peratus dalam projek gas asli cecair (LNG) dan Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, perkara itu dipersetujui PETRONAS selepas beliau mengutus surat kepada syarikat minyak negara itu berhubung permintaan kerajaan negeri sebagai balasan terhadap kebenaran yang diberikan Sabah untuk membawa keluar gas asli yang dikeluarkan dari negeri ini.

“Baru-baru ini saya mengutus surat kepada PETRONAS mengenai penyaluran gas dari Kimanis ke Bintulu. Kita tekankan bahawa mereka jika menyalurkan gas dari Sabah ke Bintulu melalui tanah Sabah mesti beri kepentingan kepada Sabah dan mereka setuju.

“Banyak lagi akan saya umumkan nanti. Mereka (PETRONAS) boleh menyalurkan gas ke Bintulu dengan syarat beri 25 peratus saham di projek LNG di SOGIP. Selama ini kita tiada pegangan di SAMUR dan PETRONAS beri juga 25 peratus ekuiti di sana.

“Pengeluaran gas dari telaga minyak juga mereka (PETRONAS) akan beri 30 peratus hingga 50 peratus, mereka setuju,” katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri dijangka akan menandatangani berhubung perkara itu dengan PETRONAS pada bulan ini atau bulan depan.

Jelasnya, perkara yang baru berlaku kira-kira sebulan lalu itu mampu memberi hasil tambahan berbilion ringgit kepada Sabah.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga sudah menerima cukai jualan petroleum daripada syarikat yang dilantik PETRONAS selepas diberi kata dua untuk melunaskan bayaran berjumlah RM90 juta sebelum 1 Oktober lalu.

Hajiji berkata, ia adalah antara pencapaian GRS dalam usaha menuntut hak Sabah melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

“Banyak perkara diberi kuasa kepada Sabah untuk dilaksanakan yang kita tuntut selama ini daripada Pusat. Antaranya isu berkaitan pembayaran PETRONAS.

“Dulu hanya bayar royalti saja, tapi mulai tahun lalu PETRONAS bayar tambahan lima peratus lagi cukai jualan minyak yang dikeluar di Sabah dan banyak lagi yang kita dapat dari PETRONAS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|