PRU-15: PBS belum sedia bekerjasama dengan WARISAN – Maximus

PRU-15: PBS belum sedia bekerjasama dengan WARISAN – Maximus

Tenom: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi pendiriannya belum bersedia untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ia disebabkan perbezaan pemikiran selain mengambil kira latar belakang parti lawan itu yang didakwanya mesra pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebagai presiden, saya mahu menjelaskan bahawa kami di PBS belum bersedia untuk bekerjasama dengan WARISAN.

“Akar umbi mereka (WARISAN) banyak golongan PATI, kami belum bersedia untuk itu,” katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom, yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom, Datuk Rubin Balang.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata demikian sebagai mengulas pendirian parti itu berhubung pelawaan WARISAN yang masih terbuka untuk bekerjasama dengan PBS pada PRU-15.

Sebelum itu, Pandikar Amin dalam ucapannya meminta Maximus menjelaskan pendirian PBS berhubung pelawaan atau lamaran WARISAN yang sering disebut presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Maximus berkata PBS akan berbincang dengan peguam parti itu untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang berhubung daftar pemilih baharu Sabah yang disifatkan sebagai meragukan.

Katanya, satu laporan polis juga akan diambil bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung punca lonjakan pengundi baharu di Sabah.

“Peguam sedang bincang dan kalau boleh kita minta injunksi supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menggunakan daftar pemilih terkini selagi belum buat forensik,” katanya.

Isu lonjakan jumlah pengundi Sabah hangat dibincangkan sejak kebelakangan ini berikutan kenaikan lebih 50 peratus pengundi terkini di negeri ini kepada 1.68 juta orang berbanding 1.1 juta orang pada 2018.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|