SPN BERSATU turun padang bersihkan rumah mangsa banjir

SPN BERSATU turun padang bersihkan rumah mangsa banjir

Kota Marudu: Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di daerah ini, Skuad Prihatin Negara (SPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turun padang mengadakan gotong-royong membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir.

Rombongan gotong-royong itu turut disertai Naib Ketua Armada BERSATU, Ceasar Mendela Malakun bersama Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda.

Redonah dan Mendela menyerahkan bakul makanan dan mesin pembersih air tekanan tinggi kepada mangsa banjir di Kota Marudu.

Menurut Redonah yang juga Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Kota Marudu, misi SPN adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu dan masalah rakyat.

“Skuad ini melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan sebagai menepati hasrat untuk mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.

Redonah menyerahkan mesin pembersih air tekanan tinggi kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu.

“Menyedari keperluan semasa negara yang berhadapan dengan bencana banjir yang menjejaskan kehidupan seharian sebahagian penduduk di negeri ini dan inisiatif mewujudkan SPN antara usaha untuk membantu golongan yang terkesan semasa dan pasca banjir,” katanya selepas menyerahkan mesin pembersih air tekanan tinggi dan bakul makanan di sini, semalam.

Tambah Redonah lagi, usaha itu dilaksanakan secara berterusan oleh Srikandi BERSATU Sabah dan Armada Sabah untuk terus mendekati dan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi terutama ketika dilanda musibah.

“Kita sentiasa fokus dalam gerak kerja selaras dengan matlamat perjuangan parti yang ingin menyantuni rakyat dan berkongsi dengan apa yang kita mampu laksanakan khasnya ketika musibah seperti banjir yang melanda di negara ini,” katanya lagi.

Selain penyerahan bakul makanan dan sumbangan wang tunai, mesin pembersih air tekanan tinggi turut diagihkan untuk digunakan bagi membersih kawasan gereja dan kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur.

Antara kampung yabg terlibat adalah Kampung Morion, Kampung Batiton, Gereja Katolik St Mary, Kampung Morion dan pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|