Laluan Kreatif kembalikan memori lama bandar Sandakan

Laluan Kreatif kembalikan memori lama bandar Sandakan

Sandakan: Bandar Sandakan mempunyai tarikan baharu pelancongan dikenali sebagai Laluan Kreatif yang berkonsep mengembalikan kenangan masa lalu atau ‘Bringing Memories Back’.

Tarikan yang diilhamkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu adalah antara usaha mengindahkan kawasan bangunan lama bagi menarik kehadiran pengunjung.

Jafry meninjau Laluan Kreatif yang bakal menjadi tarikan pengunjung di bandar Sandakan.

Menterinya, Datuk Jafry Arifin, berkata projek itu yang dilaksanakan dengan kos RM200,000 turut memaparkan hasil seni kreatif anak tempatan dalam meningkatkan keceriaan persekitaran bangunan lama.

Katanya, Laluan Kreatif di bandar Sandakan itu dapat mengembalikan memori pasar lama Sandakan yang menjadi pusat aktiviti perniagaan masyarakat bandar ini suatu ketika dahulu sebelum dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek Sandakan Harbour Square dan digantikan dengan pasar lebih moden seperti yang ada pada hari ini.

“Rupa bangunan lama yang sebelumnya pudar, kini berubah menjadi panorama yang memberikan pesona berbeza. Projek lukisan mural juga dirancang dan kini dalam proses pelaksanaan bagi mencantikkan lagi Laluan Kreatif itu,” katanya selepas meninjau projek berkenaan semalam.

Jafry berkata, pihaknya yakin ia bukan saja memberi nilai tambah kepada produk pelancongan tetapi juga bakal menjadi tumpuan pelancong berswafoto sekali gus membantu mempromosi daerah Sandakan khususnya dalam media sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|