Situasi banjir ditangani dengan baik – Ronald Kiandee

Situasi banjir ditangani dengan baik – Ronald Kiandee

Paitan: Situasi bencana banjir di beberapa kawasan di Parlimen Beluran dapat ditangani dengan baik dan tersusun hasil koordinasi antara jabatan dan agensi kerajaan.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuk dalam menguruskan aset keperluan dan tenaga kerja bagi membantu memindahkan penduduk terjejas banjir sejak Sabtu lalu.

Ronald menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di Kampung Simpangan, Paitan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kerana wujudnya kerjasama dan koordinasi yang baik antara jabatan dan agensi kerajaan menerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dalam menangani situasi banjir di beberapa kawasan di Beluran.

“Ini termasuklah dalam pengurusan aset-aset yang diperlukan dan tenaga kerja bagi membantu memindahkan penduduk kampung yang terjejas banjir,” katanya kepada media selepas menyerahkan bantuan mangsa banjir di Kampung Simpangan, di sini, semalam.

Ronald bertemu penduduk terjejas akibat banjir di Kampung Simpangan, Paitan.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, penyediaan makanan bermasak kepada mangsa terjejas banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) turut diselaraskan dengan baik.

“Ini merupakan satu koordinasi yang baik berdasarkan pengalaman dalam menangani bencana yang setiap tahun berlaku di Sabah,” katanya.

Ronald dalam pada itu berkata, lebih 5,000 bakul makanan disumbangkan kepada penduduk terjejas banjir membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Beluran iaitu di Sugut, Telupid dan Labuk.

“Pejabat saya (Parlimen Beluran) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk sudah menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir dan akan terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, proses agihan bakul makanan juga kini sedang dilaksanakan oleh kakitangan pejabat Parlimen dan pejabat DUN Labuk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|