KKRS cadang kenakan caj perkhidmatan pembetungan

KKRS cadang kenakan caj perkhidmatan pembetungan

Sandakan: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) bercadang untuk melaksanakan caj perkhidmatan penyelenggaraan pembetungan dlbagi memastikan sistem pembetungan di negeri ini berada pada tahap terbaik.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata undang-undang untuk tujuan itu akan digubal bagi menyatukan bil pembetungan dengan bil air.

Bung Moktar menyerahkan replika kunci kenderaan pengangkutan kumbahan kepada Jennieve sambil diperhatikan Mohd Jasmin.

“Di Sabah, kita belum ada akta untuk pungutan pembayaran pembetungan.

“Kita akan sampai ke tahap itu satu hari nanti (caj pembetungan) kerana pembetungan teramat penting sebab mana-mana di dunia, keutamaan mereka ialah kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan Sandakan, di sini, semalam.

Bung Moktar berkata caj pembetungan itu nanti tidak akan terlalu mahal sehingga membebankan rakyat, namun rakyat perlu bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan bersama terpelihara.

“Kita akan teliti lebih terperinci cadangan ini sebelum ianya dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri untuk melihat bagaimana kaedah itu boleh dipanjangkan ke perkampungan di atas air.

Katanya ia boleh dilakukab sama ada dalam bentuk memberikan kesedaran mengenai kesihatan dan kebersihan kepada masyarakat atau menggalakkan rumah menggunakan tandas dengan betul yang mempunyai sistem perpaipan yang boleh menyalurkan kumbahan ke sistem pembetungan.

Projek itu, yang bernilai RM221 juta, dijangka siap pada 2025 dan akan memanfaatkan kira-kira 70,000 penduduk.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manlia, Mokaran Angkat; ADUN Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Juplin; Pengarah Perkhidmatan Pembentungan Sabah (JPPS), Jennieve Peter Dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|