Empat lelaki ditahan bersama syabu

Empat lelaki ditahan bersama syabu

Sipitang: Empat lelaki ditahan selepas didapati terbabit jenayah dadah dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di Kampung Pantai Sipitang dan Kampung Banting, di sini, bermula kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, dalam operasi pertama yang dijalankan jam 10 pagi itu, tiga suspek berusia 20 hingga 40-an itu pada awalnya ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Suspek yang ditahan di Kampung Banting mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah. Pix Ihsan PDRM

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui satu tiub straw lut sinar mengandungi ketulan hablur dipercayai syabu.

“Semua ketiga-tiga tangkapan terus dibawa ke Balai Polis Sipitang untuk ujian saringan air kencing sebelum didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Hasil siasatan lanjut kemudiannya mendapati dua daripada suspek mempunyai tujuh dan tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, serbuan kedua pula dijalankan pada jam 11.30 pagi, semalam dan berjaya menahan seorang lagi lelaki bersama syabu.

Katanya, suspek yang didapati positif dadah turut mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

“Semua empat-empat suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Champin menegaskan, pihaknya akan meneruskan operasi ini di kawasan daerah Sipitang dari semasa ke semasa.

Katanya, ia bagi mengesan pembekal dan penagih dadah syabu yang dikenalpasti sering mengubah teknik pengedaran dadah bagi mengaburi mara pihak berkuasa.

“Saya mohon kerjasama dari masyarakat Sipitang supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha mengesan mereka yang disyaki penagih dan pembekal dadah syabu di daerah ini.

“Ini adalah usaha berterusan dalam membanteras jenayah dadah khususnya di daerah Sipitang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|