Kota Kinabalu: Lebih 60 individu kumpulan Solidariti Anak Sabah, hari ini berkumpul di luar pagar Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyerahkan memorandum untuk menggesa isu tuntutan waris Sultan Sulu dibahaskan pada persidangan DUN dan Parlimen.
Bagaimanapun usaha itu menemui kegagalan apabila tiada wakil pejabat DUN Sabah yang tampil menerima memorandum berkenaan.

Difahamkan, Memorandum Solidariti Anak Sabah yang mengandungi 10 perkara utama itu adalah bagi menggesa Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya membenarkan perbahasan mengenai isu itu.
Tinjauan Deasoka.Com mendapati, kumpulan berkenaan mula berkumpul pada jam 10.50 pagi tadi di kawasan sekatan jalan raya yang diselia pihak polis sebelum dibenarkan berarak ke kawasan tempat letak kereta di luar bangunan DUN sejauh kira-kira 60 meter.

Hasrat kumpulan berkenaan untuk memasuki bangunan DUN bagaimanapun tidak diluluskan oleh pihak polis selepas maklumat mendedahkan tiada wakil daripada DUN yang akan menerima memorandun berkenaan.
Kecewa dengan kegagalan itu, kumpulan Solidariti Anak Sabah akhirnya beredar dari kawasan berkenaan kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi.

Sementara itu, wakil Solidariti Anak Sabah, Ismail Ayub berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dan mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran.
Katanya, kumpulan berkenaan juga akan membuat petisyen supaya memorandum terbabit diterima dan isu dapat dibahas di peringkat Parlimen serta DUN.
“Isu tuntutan terhadap Sabah banyak membabitkan isu keselamatan dan pencerobohan yang mendapat perhatian pihak antarabangsa.
“Pihak Dewan perlu membahaskan isu ini kerana ia berkaitan dengan rakyat Sabah selain berhubung kait dengan kedaulatan sempadan negeri Sabah.
“Rakyat juga perlu mengetahui perkembangan semasa berkenaan isu ini dan ianya perlu dibincangkan segera,” katanya.
-Deasoka