Persidangan DUN Sabah: Pegawai tak jalankan amanah diambil tindakan – Bung Moktar

Persidangan DUN Sabah: Pegawai tak jalankan amanah diambil tindakan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pegawai di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah diberi amaran akan diambil tindakan jika tidak menjalankan tugas kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak menafikan ada pegawai didapati tidak amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Bung Moktar (kiri) ketika tiba di DUN Sabah.

“Berkaitan penglibatan pegawai-pegawai jabatan air, tidak dapat saya nafikan apabila manusia lebih dari seorang, ramai, kita ada dasar ada polisi, pelaksana itu sendiri tidak amanah tanggungjawbnya.

“Sebab itu saya telah beri amaran melalui penerangan jelas kepada setiausaha kementerian, mana-mana pegawai kita yang didapati tidak berfungsi tidak beri manfaat kepada rakyat, tarik dia dari kawasan itu dan pindahkan simpan dimana orang tidak boleh jumpa dia,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Assaffal P Alian (Warisan-Tungku) berhubung jadual catuan air tidak efisien yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau turut mengakui ada menerima laporan bahawa pegawai di bawah kementeriannya ada yang tidak melaksanakan tugas mereka.

“Dia (pegawai) jadi penganiaya kepada rakyat, ini saya jelaskan. Ini memang saya akan lakukan termasuk Jurutera Daerah JANS Jabatan Kerja Raya (JKR) sebab saya terima laporan jurutera daerah tiga hari tiada di pejabat, tidak boleh jumpa orang.

“Mana boleh, ini saya kata rosakkan imej kementerian. Saya jenis manusia suka tolong rakyat, jangan aniaya saya,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan lisan yang diajukan sebelum itu, Bung Moktar menjelaskan bahawa status projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kampung Bangingod, Kampung Sri Hak dan Kampung Telibas, Tungku, Lahad Datu pada masa kini adalah dalam fasa semakan draf dokumen tender di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan.

“Proses perolehan projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka akan dimulakan menjelang tahun 2023.

“Bagi kawasan-kawasan yang belum menerima bekalan air terawat seperti Kampung Tambisan, Simuning dan Mundas, JANS akan menyenaraikan cadangan program bekalan air luar bandar dalam Rolling Plan Ke-empat (RP4) di bawah Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK12) kelak, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|