Persidangan DUN Sabah: RM1.3 bilion untuk lima projek bekalan air

Persidangan DUN Sabah: RM1.3 bilion untuk lima projek bekalan air

Kota Kinabalu: Lima projek berimpak tinggi bagi mengatasi masalah bekalan air di Sabah sedang dilaksanakan ketika ini membabitkan jumlah peruntukan kira-kira RM1.3 bilion.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Skim Bekalan Air Pembinaan Empangan Tawau mencatat peruntukan tertinggi dengan RM450.4 juta.

Katanya, projek itu dijangka siap pada Januari 2024 bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami pengguna di sekitar daerah Tawau.

Beliau berkata, projek besar kedua yang sedang dilaksanakan membabitkan kerja penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tuaran daripada 80 juta liter sehari (JLH) kepada 160 JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan.

“Projek ini bernilai RM419.7 juta dan dijangka siap pada April 2023,” katanya ketika menjawab soalan berhubung isu bekalan air yang diajukan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) dalam ucapan penangguhan DUN, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata di kawasan pantai timur, satu lagi projek bekalan air berimpak tinggi sedang dilaksanakan iaitu projek menaik taraf sistem bekalan air Lahad Datu.

Katanya, projek yang dijadual siap pada Jun tahun depan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM264.9 juta.

“Selain itu, pembinaa sistem bekalan air di Kota Marudu dan Kundasang juga sedang dilaksanakan, masing-masing menelan peruntukan sebanyak RM42.7 juta dan RM159 juta,” katanya.

Selain itu, katanya sebanyak 11 lagi projek lain dirancang dan dilaksanakan untuk menambah baik bekalan air, khususnya di kawasan pantai barat Sabah.

Antaranya, beliau berkata projek pembinaan Skim Bekalan Air Kecemasan (UWSS) LRA Telibong II (10 JLH) membabitkan peruntukan RM25.5 juta yang kini dalam pelaksanaan.

Projek lain katanya merangkumi pembinaan tangki simpanan, pembelian lori tangki, pengawalan aktiviti sambungan haram dan mengatasi masalah air tidak berhasil (NRW).

Sementara itu, Bung Moktar Kementerian Kerja Raya negeri sedang dalam proses akhir untuk melantik juruperunding bertauliah bagi menjakankan kajian kemungkinan ‘To Reform Sabah Water Services Industry’.

Katanya, ia antara langkah selepas jemaah menteri secara dasar meluluskan kertas Kabinet Cadangan Halatuju Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sabah olrh Pihak Berkuasa Air Negeri (Jabatan Air Negeri Sabah) pada 15 Mac lalu.

“Kementerian akan mengangkat hasil kajian ini nanti ke Mesyuarat Jemaah Menteri sekali lagi untuk mendapatkan kelulusan, seterusnya menyelesaikan secara total isu permasalahan kekurangan bekalan air bukan sahaja di Pantai Barat tetapi keseluruhan negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|