Solat hajat, bacaan doa untuk calon SPM

Solat hajat, bacaan doa untuk calon SPM

Labuan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) di sini, baru-baru ini mengambil inisiatif mengadakan solat hajat dan bacaan doa untuk memberi semangat kepada 91 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sekolah itu yang menduduki ujian bertulis mulai hari ini.

Solat hajat dan bacaan Yasin anjuran Panitia Pendidikan Islam sekolah berkenaan pada 24 Februari lalu turut disertai ibu bapa dan guru, selain pelajar dari rumah masing-masing.

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Norazita Md Nor.

Turut serta ialah Pengetua SMKTPB, Norazita Md Nor @ Shamsuri; Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Awang Adi Tuah.

Dalam ucapannya, Norazita berharap agar ibu bapa dan penjaga dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang baik dalam memastikan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum di sekolah itu.

Beliau juga mengharapkan ibu bapa sentiasa menyuntik semangat kepada anak-anak dan mendoakan agar mereka dapat mencipta kejayaan dalam akademik sekali gus dapat mengekalkan pencapaian 100 peratus pelajar sekolah itu layak mendapat sijil seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Usaha daripada pelajar sendiri amatlah penting kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam hidup,” katanya yang baru sahaja mengambil alih tugas sebagai pengetua daripada pengetua sebelum ini, Ag Rozlan Manan.

Jelas Norazita, menerusi kepemimpinan pengetua terdahulu, SMKTPB mencipta sejarah dalam keputusan peperiksaan SPM dengan pencapaian 100 peratus pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang melayakkan semua calon memperoleh sijil SPM.

“Saya berharap agar calon SPM 2021 dapat meneruskan kejayaan ini demi masa hadapan masing-masing.

“Saya juga berharap agar calon SPM 2021 sentiasa mempunyai daya saing yang positif sesama rakan untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Penyelaras Program, Ustaz Mohd Daud.

Sementara itu, penyelaras program, Ustaz Mohd Daud Abdul Rahman berkata, tujuan utama program itu dalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan semua warga pendidik, petugas di barisan hadapan, pelajar, keluarga dan masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah pandemik Covid-19.

“Majlis itu juga untuk mendoakan kejayaan calon SPM 2021. Adalah diharapkan agar semua urusan calon SPM dipermudahkan, diberikan kesihatan yang berpanjangan oleh Allah SWT dan sentiasa bersemangat,” katanya.

Ibu bapa dan calon SPM 2021 yang hadir pada program ini.

Bacaan Yasin sempena program itu dipimpin Ustaz Mohd Azman Abd Rahim, manakala bacaan doa oleh Ustaz Erzadiansyah Uzad.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat hajat di rumah masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|