PRN Johor: WARISAN beri pilihan kepada rakyat Johor, bukan pecah undi – Shafie

PRN Johor: WARISAN beri pilihan kepada rakyat Johor, bukan pecah undi – Shafie

Kota Kinabalu: Beberapa tokoh yang dijadikan calon Parti Warisan (WARISAN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertujuan untuk memberi pilihan kepada rakyat di negeri itu.

Perkara itu dijelaskan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sambil menegaskan langkah WARISAN meletakkan calon pada PRN negeri itu bukan untuk mengelirukan atau memecah undi.

Memetik laporan Sinar Harian semalam, beliau berkata, parti itu memberi pilihan naratif baharu, khususnya dengan keadaan landskap politik yang sangat dinamik pada masa ini.

Beliau turut mendakwa, rakyat Malaysia hari ini rata-ratanya amat kecewa terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), mahupun Pakatan Harapan (PH).

“Rakyat sudah mula bosan dengan senario politik yang berlaku dan negara Malaysia perlukan kestabilan, sama ada dari segi kerajaan yang mentadbir ataupun dari segi kekuatan ekonomi.

“Dengan penglibatan WARISAN di PRN Johor pada kali ini, rakyat sebenarnya diberikan peluang untuk membuat pilihan lain lebih baik di dalam pilihan raya. Kita harus berlaku adil.

“Kita perlu memberikan pilihan kepada rakyat. Pilihan untuk memilih parti mendengar yang memperjuangkan perpaduan dan boleh membuat perubahan demi kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kebanyakan parti di Malaysia sudah runcing kesepaduan, berpecah belah, pergaduhan dan perebutan dalam parti semakin parah.

“Pakatan dan perikatan yang mereka cuba pertahankan sekarang kucar-kacir dan telah mencapai kebuntuan.

“Saya rasa sudah sampai masa dan ketika, di mana rakyat sepatutnya diberikan peluang untuk membuat pilihan yang lebih baik,” jelasnya.

Beliau berkata, kesejahteraan dan kelestarian rakyat harus menjadi keutamaan parti-parti yang bertanding bagi memastikan kestabilan ekonomi untuk rakyat dapat dicapai.

Pakatan Harapan (PH) sebelum itu menyifatkan penyertaan WARISAN yang meletakkan calon di enam kerusi sebagai hanya memecah undi pembangkang kerana ia bukan untuk memenangi pilihan raya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|