SMK Kundasang, SK Mesilou akan dijadikan sekolah hab pelancongan

SMK Kundasang, SK Mesilou akan dijadikan sekolah hab pelancongan

Ranau: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilou, Kundasang yang terletak bersebelahan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, di sini, akan dijadikan sekolah hab pelancongan di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata dua sekolah terbabit akan dijadikan contoh pelancongan sekolah berdasarkan kedudukannya di kawasan pelancongan terkenal di Sabah.

Mohamad melawat SK Mesilou, Kundasang.

Beliau berkata, cadangan itu akan dilaksanakan selepas kerja pembinaan bangunan baharu SMK Kundasang dan menambah baik kemudahan di SK Mesilou selesai.

“Ketika ini pelajar SMK Kundasang menumpang di sekolah lain dekat pekan Ranau kerana bangunan sekolah berkenaan mengalami kerosakan akibat gempa bumi dan tidak lagi selamat digunakan.

“Bagaimanapun, bangunan baharu sekolah itu sudah mula dibina sejak tahun lalu di tapak baharu di Kundasang. Setakat ini kerja pembinaan sudah mencapai enam peratus dan dijangka siap pada tahun depan,” katanya selepas meninjau tapak baharu SMK Kundasang, di sini, hari ini.

Pembinaan bangunan baharu SMK Kundasang sebelum ini dianggarkan menelan kos lebih RM40 juta.

Bangunan lama sekolah itu yang terletak berhampiran pekan Kundasang dikosongkan sejak lebih 10 tahun lalu berikutan kesan retakan teruk akibat pergerakan bumi selain diburukkan kejadian gempa bumi.

Ketika ini, sekolah itu menumpang di bangunan Sekolah Menengah Agama Ranau dekat pekan Ranau, iaitu kira-kira 15 kilometer dari pekan Kundasang.

Mohamad berkata sekolah baharu itu mampu menampung sehingga 900 pelajar, selain akan dilengkapkan dengan kemudahan asrama dengan kapsiti 350 pelajar dalam fasa kedua projek pembinaannya.

Mengenai SK Mesilou, katanya pihaknya bersetuju menyalurkan peruntukan untuk membina pagar yang dilihat antara keperluan utama perlu dilaksanakan di sekolah itu.

Selain itu, beliau turut mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berbincang dengan kerajaan negeri, khususnya Pejabat Daerah Ranau bagi membantu menyelesaikan masalah pencerobohan tanah di sekolah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|