Belum ada SOP baharu operasi sekolah

Belum ada SOP baharu operasi sekolah

Ranau: Kementerian Pendidikan belum memutuskan prosedur operasi standard (SOP) baharu atau mengetatkan SOP sedia ada berhubung pengoperasian sekolah berikutan peningkatan kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin, bagaimanapun berkata pihaknya menekankan supaya SOP sedia ada dipatuhi sepenuhnya oleh guru, pelajar dan pentadbir sekolah.

Beliau berkata, pihak kementerian juga meneliti laporan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung isu Covid-19 dari semasa ke semasa dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menanganinya.

“KKM juga sentiasa memantau situasi kluster di sekolah dan kita akan umumkan jika ada SOP baharu atau mengetatkan SOP sedia ada dalam menangani situasi yang berlaku.

“Apa yang penting ketika ini ialah semua pihak perlu menjaga SOP, khususnya pentadbir sekolah, guru dan pelajar kerana keutamaan kita ialah kesihatan dan keselamatan pelajar,” katanya kepada media selepas meninjau tapak baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mesilou, Kundasang, di sini, hari ini.

Semalam, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan kemungkinan lebih banyak kluster institusi pendidikan dilaporkan di Sabah dalam beberapa hari ini berdasarkan saringan dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Sepanjang minggu lalu hingga hari ini, sebanyak 10 kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, termasuk tiga kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|