Lelaki hilang sejak 10 hari lalu selepas keluar tangkap ikan

Lelaki hilang sejak 10 hari lalu selepas keluar tangkap ikan

Kudat: Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu selepas keluar menangkap ikan di perairan Limau-Limauan, Telaga, dekat sini.

Mangsa, Nor Jali, 54, difahamkan tidak pulang ke rumah sebelum laporan dibuat kepada pihak bomba pada jam 12.11 tengah hari, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 48 kilometer dari balai.

“Menurut maklumat, panggilan diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat memaklumkan bahawa telah menerima aduan bahawa seorang lelaki hilang di laut.

“Menurut isteri mangsa yang juga pengadu memaklumkan bahawa suaminya telah ke laut Limau-Limauan, Telaga, Kudat untuk menangkap ikan pada 18 Januari lalu dan sehingga kini belum pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pasukan bomba kemudian bergerak ke lokasi untuk mengambil maklumat dan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|